Anda Memilih Pasangan Yang Tepat?Cuba Cara Ini..




Gadis-gadis di zaman ini dikatakan cukup beruntung kerana mereka rata-ratanya dibenarkan untuk memilih pasangan hidup masing-masing berbanding di zaman dahulu di mana ia ditentukan dan diatur oleh ibubapa masing-masing.
Di zaman nenek moyang kita dahulu, mereka menetapkan sendiri perkahwinan anak-anak mereka tanpa kompromi dan ada juga yang mengahwinkan anak-anak gadis mereka seawal usia 12 tahun bagi mengelak fitnah dari orang-orang kampung.
Ketika itu, istilah ‘anak dara tua’ memang terkenal dan ia menjadi satu gelaran yang sangat ditakuti oleh anak-anak dara di waktu itu.
Di zaman ini, meskipun baru di sekolah rendah dan begitu mentah untuk mengenal istilah cinta, jangan terkejut sekiranya adik-adik kita itu sudah memiliki kekasih dan saling meluahkan perasaan masing-masing melalui Facebook atau emel!
Namun, wujud pula dakwaan yang mengatakan bahawa sesetengah gadis lebih gemar memilih untuk bertemankan lelaki yang nakal berbanding lelaki yang bersifat ‘skema’, ‘nerd’ atau lurus, benarkah begitu?
Pada gadis-gadis ini, lelaki nakal dianggap lebih aggresif, meyakinkan, pandai berkomunikasi, lebih romantik dan bijak bergaya mengikut perkembangan semasa berbanding lelaki lurus yang dikatakan membosankan.
Pada pandangan penulis, adalah lebih tepat sekiranya gadis-gadis di zaman ini memilih pasangan masing-masing mengikut panduan yang diberikan Rasulullah SAW yang menggaris empat perkara asas untuk menghakimi lelaki idaman mereka.
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda;
“Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana kedudukannya atau keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya nescaya engkau beruntung.” –Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, An-Nasaai dan Ibnu Majah
Bagaimana pula mahu menguji tahap pengetahuan agama teman lelaki anda?
Cubalah suruh teman lelaki anda membaca surah Al-Fatihah dan berilah berhatian kepada tajwid serta makhraj huruf yang  sempurna memandangkan ia begitu penting dibaca di dalam setiap solat.
Selain itu, adalah amat penting untuk memerhatikan sama ada dia melaksanakan solat lima waktu secukupnya, tepat ketika masuk waktu atau dia melengah-lengahkan solat tersebut dan apakah doa dibaca setelah selesai solat?
Sekiranya dia membaca doa, cuba anda minta dia bacakan doa tersebut dihadapan anda secara penuh dan berilah alasan bahawa anda mahu dengar apa yang diminta dari Allah SWT setiap kali selepas solat.
Seterusnya, lihatlah pula kepada akhlaknya sama ada dia berakhlak mahmudah atau mazmumah, berdisiplin atau tidak dan sifat-sifat lain yang perlu ada pada setiap muslim.
Insyaallah, sekiranya kuat asas pegangan dan asas agamanya maka ternyata anda merupakan antara gadis yang paling bertuah untuk memiliki bakal suami yang akan membahagiakan anda di dunia dan akhirat.
Untuk mendapatkan teman lelaki sebegini hebat bukannya susah.
Anda cuma perlu memastikan diri cukup ilmu agama di dada dan bijak menjaga maruah diri sebagai muslimah yang baik sahaja kerana Allah SWT telah menggariskan bahawa lelaki yang baik adalah untuk gadis yang baik serta begitu juga sebaliknya.
Firman Allah SWT di dalam Al-Quran;
“Laki-laki yang berzina tidak mengahwini melainkan perempuan yang berzina, atau perempuan yang musyrik; dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh laki-laki yang berzina atau laki-laki musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang mukmin.” – Surah An-Nur, ayat 3.
Wallahua’alam.
Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story