Bijak & cantik aset kejayaan Cinta Laura


Rupa paras cantik hasil kacukan Jerman dan Indonesia antara kelebihan dimiliki aktres seberang, Cinta Laura Kiehl untuk mencipta namanya dalam industri hiburan di Indonesia.
Gadis berusia 19 tahun yang mempunyai keunikan tersendiri dalam pertuturannya­ membuatkan dia lebih mudah dikenali dan diingati peminat tempatan dan tidak terlepas daripada pandangan peminat di Malaysia.
Bermula sebagai pemenang Top Model 2006 ketika berusia 13 tahun, Cinta memulakan kariernya dalam bidang lakonan setelah dipilih oleh salah seorang juri daripada pertandingan tersebut untuk membintangi sebuah drama sinetron.
Menerusi sinetron Cinderella (Apakah Cinta Hanya Mimpi?), Cinta diberi kepercayaan memegang watak utama. Biarpun kurang fasih berbahasa Indonesia, Cinta sanggup mengikuti kelas bagi melancarkan pertuturannya.
Ternyata, kepercayaan yang diberikan kepadanya berbaloi apabila lakonan menerusi sinetron pertama itu berjaya mengangkat namanya sebagai Aktris Ngetop pada SCTV Awards 2007 sekali gus menewaskan pelakon hebat Marshanda, Shireen Sungkar dan Nia Ramadhani.
Menurutnya, setelah lakonan pertamanya berjaya mendapat tempat di hati penonton, dia dihujani pelbagai tawaran lakonan daripada pengarah dan penerbit tempatan.
“Sinetron kedua yang saya terima ialah Upik Abu dan Laura. Dalam sinetron ini juga, saya memegang watak utama yang turut dibintangi oleh pelakon Alyssa Soebandono, Irwansyah dan Glenn Alinskie,”katanya.
Tuah dalam bidang nyanyian
Seakan satu kebiasaan, ramai dalam kalangan pelakon mencuba nasib dalam bidang nyanyian begitu juga dengan Cinta.
Bakat nyanyiannya mula disedari oleh pelbagai pihak semasa membuat persembahan nyanyian berduet dengan komposer terkenal, Ahmad Dhani di sebuah majlis penyampaian anugerah.
Berikutan persembahan nyanyian itu, dia menerima tawaran menyanyikan lagu tema sinetron Upik, Abu dan Laura berjudul You Say Aku.
“Saya bersyukur lagu ini dapat diterima baik oleh peminat dan pendengar­. Ini merupakan pengalaman berharga buat saya sepanjang bergelar pelakon dan penyanyi. Walaupun banyak tawaran nyanyian saya terima, tidak bermaksud saya akan meninggalkan bidang lakonan malah saya mahu kedua-duanya seimbang untuk menjadi lebih versatil,” katanya.
Pada akhir 2009, Cinta berjaya melancarkan album studio pertamanya berjudul Cinta Laura yang mengandungi single hit, Cinta Atau Uang yang merupakan lagu soundtrack filem Seleb Kota Jogja yang turut dibintanginya dan lagu single lain seperti Oh Baby, You Say Aku dan We Can Do It turut dimuatkan dalam album tersebut.
Amat membanggakan setelah dua minggu pelancaran album dilakukan, sebanyak 100,000 keping cakera padat telah terjual sekali gus dia memperoleh penghargaan Platinum Award berikutan sambutan menggalakkan.
Tidak lupakan pelajaran
Walaupun kariernya sebagai pelakon dan penyanyi menerima kejayaan luar biasa, namun gadis berumur 19 tahun ini tidak menjadikannya sebagai satu kejayaan yang berkekalan.
Oleh itu, Cinta mengambil keputusan melanjutkan pelajarannya di University Stanford yang terletak di California akhir tahun lalu.
“Saya memilih University Stanford kerana sejak dulu lagi saya impikan untuk berada di sana dan bagi saya universiti itu adalah antara pusat pengajian terbaik di Amerika. Saya tidak hanya mahu berjaya dalam karier, malah mahu berjaya dalam setiap bidang termasuklah pendidikan yang boleh menjamin masa depan saya,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi menteri.
sumber: sinarharian.com.my

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story