7 Ditahan Bakar Pusat Tahfiz Sebab Dendam Diejek


KUALA LUMPUR – Misteri insiden kebakaran tragik di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat di sini Khamis lalu berjaya diselesaikan pihak polis dua hari selepas kejadian itu.

Ia susulan kejayaan penahanan tujuh remaja lelaki Melayu dalam siri tangkapan dari 6 petang Jumaat hingga 2.30 pagi Sabtu kerana disyaki sengaja bakar pusat tahfiz itu yang mengorbankan 21 murid dan dua warden asrama.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh mengesahkan, kes serius itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan bunuh yang jika sabit kesalahan di mahkamah, boleh dihukum gantung sampai mati.
Malah kes berat tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan jenayah khianat bakar harta benda secara sengaja yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda jika sabit kesalahan.
Amar turut memberi amaran kepada orang awam agar tidak menularkan mesej tidak benar kerana boleh memberi kesan kepada siasatan dan proses mahkamah. Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 203 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu MYNEWSHUB difahamkan, suspek paling tua dikenal pasti berusia 19 tahun dan berasal dari Kelantan manakala seorang lagi rakannya juga berumur 17 tahun pula tetapi berasal dari Kuala Lumpur.
Tiga lagi disyaki berusia 16 tahun namun masing-masing seorang lagi suspek berumur 15 tahun dan paling muda ialah 11 tahun. Kesemua mereka disahkan berasal dari sekitar ibu negara, menurut sumber MYNEWSHUB.
Suspek dipercayai melakukan kebakaran akibat balas dendam setelah marah diejek beberapa pelajar tahfiz dan mereka ada merancang untuk memecah masuk asrama pusat itu bagi mencuri telefon bimbit milik penghuninya.
Bagaimanapun pada hari kejadian, mereka mengubah rancangan untuk membakar langsung pusat berkenaan setelah berbincang di sebuah restoran bersebelahan ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Premis itu kebetulan terletak berhampiran pusat tahfiz tersebut. Justeru pada jam 4 pagi, dua suspek berkenaan telah membeli petrol dari sebuah stesen minyak berdekatan yang diisi dalam sebotol air mineral bersaiz besar.
Sekitar pukul 4.30 pagi, mereka berkumpul di padang belakang pusat tahfiz itu namun suspek paling muda yang turut menyaksikan perbuatan tersebut dilaporkan memanjat masuk ke pejabat PPIM untuk tidur kerana keletihan.
Suspek lain bagaimanapun memecah masuk sebuah kiosk bersebelahan pejabat PPIM untuk mencuri dua tong gas setelah mendapati pintu masuk ke bilik asrama berkunci. Barang itu diletakkan menghala ke arah pintu bilik itu.
Seorang suspek pula mengambil tilam dari tingkat bawah dan diletakkan di tingkat tiga bangunan pusat itu sebelum api dinyalakan dengan menggunakan pemetik api. Mereka melarikan diri dengan menaiki motosikal balik ke rumah.
Amar ketika sidang akhbar tergempar di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada Sabtu malam mengesahkan kesemua suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah di Jalan Duta untuk perintah reman selama tujuh hari bagi bantu siasatan.
Beliau juga menyatakan bahawa air kencing enam daripada suspek disahkan positif dadah. Ada suspek dikesan pernah memiliki rekod jenayah lampau termasuk curi kenderaan. Antara mereka ada juga tidak lagi bersekolah.
Kes berkenaan ujar Amar masih lagi disiasat polis. Suspek ditangkap hasil maklumat risikan dan bantuan daripada rakaman kamera litar tertutup yang kebetulan terdapat di sekitar pejabat PPIM. – Mynewshub.cc/HAA






Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story